1. Berdasarkan video-video berkaitan ilmu
ketamadunan, senaraikan 10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih
lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain faktor.
1. Membenarkan
setiap rakyat Malaysia mengamalkan agama masing-masing.
2. Menganjurkan
aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan semua kaum agar interaksi dan hubungan
antara rakyat berbilang kaum dapat dieratkan.
3. Meningkatkan
kualiti kehidupan rakyat Malaysia dengan menyediakan kelengkapan infrastruktur
dan perkhidmatan yang lebih baik.
3. Meweujudkan
sistem organisasi dan institusi sosial dalam pelbagai bidang seperti politik,
pentadbiran, ekonomi dan pendidikan yang sempurna dan teratur.
4. Memartabatkan
Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan yang suatu ketika dahulu pernah
menjadi lingua franca, agar rakyat dapat berkomunikasi dengan satu sama lain
tanpa masalah bahasa.
5. Mewujudkan
sistem perundangan yang teratur untuk mengawal tingkah laku dan perlakuan
rakyat.
6. Meningkatkan
penyelidikan dalam reka cipta, sains dan teknologi untuk keselesaan dan
kesenangan para rakyat.
7. Mengembangkan
daya kreativiti dengan mengadakan aktiviti dan pembelajaran di luar kelas untuk
para pelajar sekolah.
8. Mempergiatkan
kempen yang bersifat patriotik untuk menyuntik semangat cinta akan negara dalam
jiwa rakyat.
9. Membangunkan
kawasan luar bandar terutama di pedalaman dengan meningkatkan kemudahan
infrastruktur dan memberi insentif agar dapat mengurangkan jurang perbezaan
yang ketara antara golongan kaya dan golongan miskin.
10. Memberi bantuan
kepada golongan yang ditimpa malapetaka atau bencana alam dengan menghulurkan
bantuan kewangan atau barangan keperluan untuk meringankan beban dan kesusahan
mereka.
2.
Dalam
kalangan sebahagian media Barat cuba menonjolkan Islam adalah agama keganasan
dan dikaitkan dengan perkataan Jihad. Berdasarkan temu duga kamu berkaitan hal
ini dengan pelbagai etnik dari rakan-rakan kamu di UKM, apakah pandangan orang
Cina di Malaysia? Apakah orang Melayu di Malaysia? Apakah pandangan
bangsa-bangsa lain di Malaysia?
1. Pandangan orang Cina
Orang
Cina berasa bahawa orang Islam terutama di negara-negara Timur bertindak agak
melampau kerana sanggup membunuh orang bukan Islam yang tidak ingin mengamalkan
agama Islam. Hal ini demikan kerana media massa sentiasa melaporkan peristiwa
berdarah berkaitan dengan ISIS di Syria yang membunuh orang Kristian dengan
memotong tubuh mereka atau memancung kepala mereka tanpa sebarang belas
kasihan. Oleh itu, persepsi orang Cina tentang jihad ialah peperangan dan
pembunuhan orang bukan Islam. Ini menyebabkan golongan yang mengamalkan jihad
sentiasa ditakuti oleh orang ramai kerana mereka boleh membunuh orang pada
bila-bila masa sahaja, contohnya mengaktifkan bom yang boleh melibatkan kematian
diri sendiri dan orang lain.
2. Pandangan orang Melayu
Pada
pandangan orang Melayu, jihad sebenarnya merupakan perjuangan yang
bersungguh-sungguh untuk menegakkan syariat dan menyebarkan agama Islam. Jihad
tidak selalunya melibatkan keganasan dan peperangan sahaja. Jihad boleh
dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu jihad pendidikan dengan menyebarkan
kesedaran Islam, jihad dengan menyumbang harta benda, jihad peperangan yang
menyerang apabila masyarakat Islam berdepan dengan musuh yang menggugat Islam,
dan jihad kerahan tenaga. Jihad peperangan yang disalahgunakan oleh golongan
ekstremis seperti ISIS di Syria telah menyebabkan negara-negara Barat melihat
agama Islam sebagai agama keganasan, dan persepsi masyarakat lain terhadap
Islam telah berubah menjadi negatif. Golongan ekstremis tidak sepatutnya
membunuh orang sewenang-wenangnya atau melakukan keganasan kerana mereka
membawa nama Islam dan menjatuhkan imej agama Islam yang merupakan agama yang
sejahtera, tenang dan damai.
3. Pandangan bangsa-bangsa lain
Sesetengah
bangsa tidak memahami maksud jihad yang sebenarnya, tetapi berdasarkan media
massa yang memaparkan jihad sebagai peperangan oleh orang Islam, mereka melihat
jihad sebagai cara keganasan dan penyeksaan orang bukan Islam. Namun begitu,
mereka berasa bahawa jihad lebih biasa di negara-negara ekstremis seperti Syria
dan tidak begitu diamalkan di negara Malaysia.
3. Kamu seorang sasterawan negara dan
dijemput mendeklamasikan satu puisi bertemakan isu-isu ketamadunan.
Makna tamadun indah rupanya,
Bahasa Arab asal usulnya,
Mudun, madain, dan madana juga,
Tinggi budi bahasa dan pembukaan
bandar.
Masyarakat tamadun banyak ciri,
Bentuk agama sangat tinggi,
Negara tersusun dengan rapi,
Undang-undang negara bagaikan terapi.
Tamadun bertembung pada suatu hari,
Puncanya komunikasi dan interaksi,
Nilai saling menghormati dan
bertoleransi,
Hasilnya asimilasi dan amalgamasi.
4.
Dalam
mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik demi
kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan manakah semua orang mesti
bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda.
Tidak
kira keadaan apa, semua orang mesti bersatu padu demi keharmonian dan keamanan
negara yang secara tidak langsung memelihara kelangsungan tamadun di sesebuah
negara. Keadaan yang lebih spesifik ialah apabila negara diserang oleh musuh.
Sekiranya rakyat berpecah belah mengikut tamadun masing-masing, negara tidak
akan mempunyai benteng pertahanan yang kuat untuk berlawan dengan musuh. Oleh
itu, dalam keadaan peperangan antara negara dengan musuh, setiap orang harus
bersatu padu dan berganding bahu dalam usaha menentang musuh bersama-sama demi
mempertahankan negara. Selain itu, keadaan seperti acara sukan di mana sesebuah
negara akan dipandang oleh dunia. Semua pemain tanpa mengira kaum dan agama
harus bekerjasama dalam sukan tersebut kerana mereka sedang mewakili negara
bersama. Para penyokong yang berlainan bangsa juga harus bersatu padu memberi
sokongan kepada negara sendiri tanpa memilih kasih kepada pemain. Di samping
itu, keadaan di sekolah juga memerlukan perpaduan antara pelajar berbilang
kaum. Contohnya, guru memastikan agar pelajar-pelajar bercampur gaul dengan
pelajar berlainan bangsa semasa di dalam kelas atau waktu latihan sukan. Guru
juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada para pelajar dengan tidak
memihak kepada pelajar daripada bangsa sendiri sahaja. Sebenarnya terdapat
terlalu banyak keadaan yang memerlukan kesatuan dan perpaduan agar tiada
berlakunya pertelingkahan kaum yang boleh menjejas keharmonian dan kedamaian
sesebuah negara.
No comments:
Post a Comment